'Tiada unsur hubungan sejenis disiarkan dalam Kartun Santiago of the Seas' - RTM | The Reporter

‘Tiada unsur hubungan sejenis disiarkan dalam Kartun Santiago of the Seas’ – RTM

RTM menafikan dakwaan unsur hubungan sejenis dalam siri animasi Santiago of the Seas
Gambar tular di media sosial yang mendakwa babak berkenaan ditayangkan di RTM.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengeluarkan kenyataan rasmi susulan beberapa pandangan orang awam berkaitan kandungan siri animasi Santiago of the Seas episod 22 yang disiarkan di TV2 pada 16 November 2025, jam 10.00 pagi.

Menurut RTM, hasil laporan Penilaian Kandungan serta semakan dalaman mendapati tiada sebarang perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, mahupun unsur yang menjurus ke arah itu dalam episod berkenaan.

“Berdasarkan laporan Penilaia Kandungan dan semakan yang telah dilaksanakan, tiada pelakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, mahupun sebarang elemen yang menjurus ke arah itu,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai langkah memastikan kandungan siaran tidak menimbulkan sebarang keraguan atau sensitiviti masyarakat, RTM mengambil tindakan menghentikan sementara siaran animasi tersebut. Tindakan ini bertujuan memberi ruang kepada pihak RTM menjalankan penelitian lanjut terhadap keseluruhan kandungan siri berkenaan.

Baca juga:

RTM menegaskan komitmen mereka untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi garis panduan etika penyiaran.

“RTM kekal komited untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran dan tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, RTM turut memohon kerjasama orang ramai untuk tidak membuat spekulasi yang boleh mengelirukan serta menggesa pihak berkaitan merujuk terus kepada RTM bagi mendapatkan maklumat yang sah dan tepat.

Sebelum ini, tular di laman Thread rungutan orang ramai yang mendakwa terdapat adegan tidak sesuai dalam siri animasi tersebut sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai pengaruhnya terhadap kanak-kanak.

Related Posts