Tiada pemandu kedua, JPJ Pulau Pinang saman 25 bas ekspres & persiaran | The Reporter

Tiada pemandu kedua, JPJ Pulau Pinang saman 25 bas ekspres & persiaran

Tiada pemandu kedua bas ekspres
Sumber gambar: Facebook JPJ Pulau Pinang

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Tiada pemandu kedua untuk perjalanan jauh melibatkan lebih 300 kilometer (km) atau empat jam tanpa henti telah menyebabkan 25 bas ekspres dan persiaran disaman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam operasi khas yang diadakan di negeri ini.

Operasi yang berlangsung selama hampir 10 jam itu dijalankan di tiga lokasi iaitu Plaza Tol Juru, Plaza Tol Bukit Tambun, dan Plaza Tol Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, bermula jam 10 malam semalam hingga 7 pagi tadi.

“JPJ turut menyita sebuah bas ekspres kerana pemandunya tidak memiliki lesen memandu dan sebuah lori kontena yang dipandu oleh individu di bawah umur,” menurut kenyataan di laman Facebook JPJ hari ini.

Selain itu, 23 bas dikenakan tindakan atas kesalahan tiada atau gagal mengemas kini buku log pemandu, manakala satu lagi kes melibatkan ketiadaan pemandu pelancong.

Secara keseluruhannya, sebanyak 273 notis saman dikeluarkan sepanjang operasi ini atas pelbagai kesalahan teknikal dan pelanggaran peraturan.

JPJ memaklumkan operasi ini bertujuan memastikan pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, sekaligus menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Sumber: Bernama

Related Posts