Tiada keperluan mendesak untuk isytiharkan GISBH sebagai kumpulan ajaran sesat - Mufti Terengganu | The Reporter

Tiada keperluan mendesak untuk isytiharkan GISBH sebagai kumpulan ajaran sesat – Mufti Terengganu

Terengganu GISBH ajaran sesat
Gambar hiasan | Sumber: Lifestyle Asia

Tatkala beberapa negeri lain mula mengisytiharkan GISBH (Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings) sebagai kumpulan ajaran sesat, Terengganu masih belum membuat keputusan mengenai kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat. Ini berikutan tiada keperluan mendesak kerana bilangan pengikut kumpulan tersebut di negeri ini tidak ramai.

Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun berkata, isu tersebut akan dibincangkan di peringkat Majlis Fatwa Terengganu selepas menerima resolusi daripada Majlis Raja-Raja Melayu.

“Pengikut GISBH di Terengganu ini tidak begitu ketara dan terpencil. Mereka tidak ramai dan kalau ada isu, pengikut berkenaan sendiri sudah pun keluar dari Terengganu. Namun, pihak berkuasa masih memantau pergerakan mereka setakat ini.

“Jadi, keadaan ini tidak begitu serius buat masa ini, namun kita akan bawa isu ini ke Majlis Fatwa Terengganu setelah maklumat lengkap diperoleh,” katanya.

Mohamad Sabri turut menyatakan pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terlebih dahulu mengenai isu ini sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.

Tambahnya, sebarang keputusan pada peringkat negeri akan dibawa untuk mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, sebelum ajaran dan kepercayaan GISBH difatwakan sebagai sesat.

Setakat ini, enam negeri telah mengisytiharkan ajaran dan amalan GISBH sebagai sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam, iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka, Sabah, dan Pulau Pinang.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts