'Tiada keperluan berbincang dengan pihak terlibat dalam siasatan, termasuk GISBH' - KPN | The Reporter

‘Tiada keperluan berbincang dengan pihak terlibat dalam siasatan, termasuk GISBH’ – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, tiada keperluan bagi pihak berkuasa berbincang dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam siasatan, termasuk dalam kes Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, mendakwa tidak ada perbincangan sebelum tindakan serbuan polis dilakukan pada 11 September lalu.

Jelas Razarudin, prosedur polis adalah mengumpul bukti secara teliti untuk memastikan siasatan dapat dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. Beliau juga memberi gambaran situasi ini dengan contoh rumah disamun:

“Adakah kalau kita (polis) menyiasat dan kita nak kena bincang? Bagaimana pula dengan bukti kita? Kalau macam itu sebagai contoh rumah disamun dan kita kenal pasti penjenayah, adakah perlu saya bincang dengan penjenayah itu? Adakah itu tindakannya?” katanya.

Selain itu, siasatan polis turut mengesahkan berlaku penderaan terhadap kanak-kanak di rumah amal yang dikendalikan oleh GISBH. Kesemua mangsa mengalami penderaan fizikal, emosi, pengantunan dan kekurangan zat makanan.

Setakat ini, Operasi Global yang dilakukan Negeri Sembilan dan Selangor telah menyelamatkan 392 kanak-kanak (202 lelaki dan 190 perempuan).

Polis juga telah membekukan 96 akaun bank dan aset lain yang berkaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bernilai lebih setengah juta ringgit (RM581,552.31). Empat akaun turut ditutup dan beberapa kenderaan disita untuk membantu dalam siasatan kes eksploitasi kanak-kanak.

Sumber: Harian Metro

Related Posts