Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon dan model terkenal, Thanuja Ananthan meluahkan perasaan sedih setiap kali tiba musim Hari Raya Aidiladha apabila melihat haiwan disembelih untuk ibadah korban.
Meskipun sukar mengawal emosinya, beliau tetap menghormati kepercayaan umat Islam dan memahami maksud di sebalik amalan tersebut.
“Setiap tahun bila tiba Aidiladha, saya rasa sangat sedih melihat lembu dan kambing disembelih. Saya faham ini adalah satu perayaan dan saya tak berniat nak kurang ajar, tapi saya tidak dapat tahan rasa sedih kepada lembu dan kambing,” katanya menerusi platform Threads, memetik Kosmo! Online.
Menurut bekas Miss World Malaysia 2009 itu, dia memilih untuk menjauhkan diri seketika daripada media sosial kerana tidak sanggup melihat terlalu banyak paparan video penyembelihan haiwan.
“Kenapa perlu dibesarkan, kemudian disembelih? Saya tak boleh nak faham, walau macam mana saya cuba. Dah macam anak sendiri. Jadi macam haiwan peliharaan. Haiwan itu pun tak akan faham, sebab itu mereka menangis,” ujarnya.
Thanuja berkata hari itu adalah hari yang sangat emosional buatnya dan dia mengambil keputusan untuk tidak melayari media sosial buat sementara waktu.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada umat Islam yang menjawab pandangannya dengan tenang serta memberikan penjelasan tanpa beremosi atau menyerangnya secara peribadi.
“Terima kasih kepada semua saudara Muslim saya di sini (Threads) yang meluangkan masa untuk bersikap baik dan sabar dengan apa yang saya rasa hari ini,” katanya lagi.
Menurut Thanuja, dia sangat menghargai penerangan yang diberikan oleh ramai pengguna dan menyifatkan interaksi tersebut sebagai bukti kasih sayang serta niat baik yang dikongsi bersama.
Meninjau ruang komen, rata-rata netizen tampil memberi penjelasan berhubung ibadah korban tentang bagaimana tuntutan agama yang menjadikan penyembelihan haiwan sebagai lambang ketaatan kepada perintah Allah SWT.








