Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pendidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha (TDML) tampil merayu agar masyarakat tidak terus menghukum warga sekolah itu susulan kes tular yang melibatkan institusi berkenaan baru-baru ini.
Menurutnya, warga sekolah kini berdepan tekanan yang sangat berat apabila pelajar didakwa menerima cercaan serta dilabel sebagai “pembunuh” dan “pembuli” oleh segelintir pihak ketika berada di luar kawasan sekolah.
“Hari demi hari, kerisauan serta tekanan yang dihadapi pelajar dan ibu bapa semakin meningkat. Malah ada pelajar yang memilih untuk berpindah ke sekolah lain kerana tidak tahan dengan suasana yang wujud,” luah pendidik berkenaan.
Beliau menegaskan, seluruh warga TDML turut mahukan keadilan untuk Allahyarhamah Zara, malah pihak berkuasa telah menjalankan siasatan dengan telus sejak hari pertama kejadian.
“Kami warga sekolah tidak pernah menyembunyikan apa-apa. Semua pihak memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan. Namun, fitnah yang tersebar semakin menekan emosi pelajar dan mencalar imej institusi pendidikan agama Islam,” katanya.
Baca juga:
- Mahkamah sahkan kecuaian, keluarga S Thanabalan terima RM1.1 juta
- Pelajar Tingkatan Dua maut ditembak ketika bermain sembunyi-sembunyi
- Hilang semangat kerja gara-gara penilaian prestasi oleh pegawai tidak dikenali
Tambah beliau, tindakan segelintir pihak yang menggerakkan kempen boikot sekolah di media sosial hanya memburukkan keadaan, apatah lagi apabila ada golongan agamawan sendiri turut terpengaruh dengan dakwaan yang belum tentu sahih.
Dalam hantaran di Facebook, beliau menyeru masyarakat agar memberi ruang kepada pelajar untuk menumpukan perhatian terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang semakin hampir.
“Kami merayu dan memohon agar anak-anak yang tidak bersalah tidak diganggu. Doakanlah mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Kami sangat sayangkan sekolah ini,” katanya lagi.









