'Terpaksa naikkan harga, sebab saya ada anak & komitmen lain perlu dibayar' - Peniaga serba-salah nak naikkan harga makanan | The Reporter

‘Terpaksa naikkan harga, sebab saya ada anak & komitmen lain perlu dibayar’ – Peniaga serba-salah nak naikkan harga makanan

Gambar hiasan.

Kenaikan harga barangan termasuk beras pada ketika ini membuatkan peniaga makanan berada dalam keadaan tersepit dan serba-salah mahu menaikkan harga makanan.

Suriati, 48, peniaga makanan sejak 20 tahun lalu mengakui tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga makanan walaupun tahu tindakan itu akan mengundang rungutan orang ramai.

“Selepas raya haji, harga beras naik. Jadi saya pun terpaksa naikkan harga nasi putih. Kalau dulu RM1.50, sekarang RM2.

“Harga lauk juga naik. Nasi putih dengan lauk ayam dijual antara RM7 hingga RM8. Manakala nasi putih dengan lauk ayam, kuah dan sayur pula RM9.

“Nasi dengan lauk ikan mahal sedikit, RM10 sepinggan dan RM11 kalau ada sayur,” katanya memetik laporan Harian Metro yang membuat tinjauan di medan selera, Pantai Dalam pada Sabtu, 16 September 2023.

Jelas Suriati, dia tidak mempunyai pilihan dan perlu memikirkan keuntungan kerana ada komitmen bulanan yang perlu ditanggung.

“…terpaksa naikkan harga kerana saya ada tiga anak dan utiliti yang perlu dibayar,” ujarnya.

Bagaimanapun Suriati bersyukur ada pelanggannya memahami kenaikkan harga yang dikenakan. Namun kehadiran pelanggan ke kedai boleh dikatakan semakin berkurangan.

Sumber: Harian Metro (Redzuan Muharam)

Related Posts