Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pempengaruh yang dikenali sebagai Prince Syed membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi semalam bagi membersihkan nama dan perniagaannya.
Tindakan beliau susulan menerima komen negatif di media sosial yang mendakwa laksa yang dijual pempengaruh itu kurang sedap berbanding laksa yang dijual oleh peniaga tempatan di Langkawi.
Dalam pada itu, memetik laporan dari Berita Harian, Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat pempengaruh berkenaan.
“Tujuan laporan dibuat pengadu itu adalah bagi menafikan tohmahan dan tuduhan ke atas beliau dan peniagaannya. Pengadu juga tidak puas hati dengan kata-kata kesat yang dilemparkan kepadanya.
“Ia juga bagi membersihkan kembali nama pengadu dan nama peniagaannya dari tomahan terutama dalam media sosial,” katanya.
Menerusi hantaran di media sosial pula, Prince Syed berkata laporan yang dibuat adalah bertujuan untuk menjernihkan keadaan serta mempertahankan diri selepas menerima pelbagai kritikan dan tohmahan mengenai perniagaannya.
“Kami minta maaf dan ampun kepada seluruh warga Langkawi sebab kehadiran kami. Kepada semua yang posting video dan sebut nama kami yang tidak tahu cerita apa, kami berbesar hati sebenarnya jika mahu berjumpa untuk tahu apa yang jadi.
“Saya harap perkara ini kita hentikan dan kita tutup cerita, kami akan keluar dari sini jangan risau. Terima kasih kerana memberi kami tumpang niaga di Langkawi,” katanya.
Sumber: Berita Harian, Prince Syed