Teresa Kok nafi dakwaan tak hormat Islam & persoal keperluan sijil halal - The Reporter

Teresa Kok nafi dakwaan tak hormat Islam & persoal keperluan sijil halal

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, menafikan dakwaan kononnya dia tidak menghormati Islam atau mempersoalkan keperluan pensijilan halal.

Sebaliknya, beliau menyokong usaha kerajaan dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dalam mempromosikan pensijilan halal bagi industri makanan dan minuman. Malah, Teresa mengakui standard yang digunakan oleh Jakim dalam pensijilan halal adalah di antara yang tertinggi di dunia.

Sebelum ini, Teresa mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap cadangan JAKIM yang mahu mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol yang akan membebankan perniagaan dan memalukan Malaysia.

Namun, beliau menegaskan kenyataannya bukan bermaksud mempersoalkan pensijilan halal atau tidak menghormati agama Islam. Tetapi sebagai ahli parlimen, beliau bertanggungjawab menyuarakan masalah yang dihadapi rakyat berbilang kaum.

“Kenyataan saya tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jakim atau tidak menghormati agama Islam,” katanya.

Berhubung tindakan polis yang membuka kertas siasatan terhadapnya, Teresa menjelaskan tindakan itu tiada keperluan kerana beliau bukannya melakukan kesalahan.

Teresa juga telah memberikan penjelasan mengenai kenyataannya dan menganggap tindakannya itu sebagai sebahagian daripada tugasnya selaku wakil rakyat untuk mengangkat isu yang dihadapi oleh rakyat.

“Kenyataan saya semata-mata suara kebimbangan dan bagi mengetengahkan isu dihadapi oleh rakyat bawahan, sebagai sebahagian daripada tugas seorang anggota parlimen,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!