Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
PAS Terengganu dalam satu kenyataan membuat permohonan maaf secara terbuka atas kekhilafan teknikal yang tidak disengajakan berhubung logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.
Sehubungan dengan itu juga, urusetia himpunan berkenaan berkata, pihaknya telah menarik balik penggunaan logo berkenaan dan mengeluarkan logo versi baharu HTMT 2025.
“Urusetia Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas teguran daripada pelbagai pihak berhubung rekaan logo ‘teaser’ TMT 2025.
“Pihak kami ingin merakamkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat dan penyokong atas kekhilafan teknikal yang tidak disengajakan dan telah mengambil tindakan segera untuk menarik balik penggunaan logo tersebut.
“Versi logo baharu HTMT 2025 telah diperbetulkan dan akan digunakan dalam semua bahan promosi dan siaran rasmi selepas ini,” katanya.
Terdahulu, logo yang terdapat di poster himpunan TMT dikritik kerana memaparkan Jalur Gemilang yang hanya memaparkan bintang kuning dengan 11 bucu, selain hanya jalur merah putih.








