Terengganu akan guna tema, logo sama seperti digunakan oleh Putrajaya untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat persekutuan - MB Terengganu | The Reporter

Terengganu akan guna tema, logo sama seperti digunakan oleh Putrajaya untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat persekutuan – MB Terengganu

Sumber gambar: Facebook MB Terengganu

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri memaklumkan mereka akan menggunakan tema dan logo sama seperti yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Kenyataan itu sekali gus menidakkan cadangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang mencadangkan penggunaan tema dan logo alternatif..

“Bagi kami di Terengganu, kami akan guna logo yang sama dengan persekutuan,” katanya memetik laporan daripada The Star.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri menegaskan, kerajaan-kerajaan negeri yang menetapkan tema Hari Kebangsaan peringkat negeri, bukan kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli semalam memaklumkan pihaknya bersetuju menggunakan tema “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.

Tetapi menolak penggunaan logo yang ditetapkan kerana ia mempunyai slogan Malaysia Madani.

Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

Sabtu lalu, Pemuda PN melancarkan logo alternatif Hari Kebangsaan yang memaparkan bunga raya dengan lima kelopak dan warna di bendera Malaysia dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, mencadangkan logo dan tema itu digunakan di empat negeri yang diperintah oleh PN iaitu, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis.

Namun Ahmad Fadhli menafikan dakwaan menteri kabinet yang mengatakan dia berniat mempolitikkan Hari Kebangsaan.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan yang menggunakan perkataan Madani, Perpaduan dan Harapan dalam tema tersebut di mana perkataan-perkataan itu digunakan oleh parti pemerintah semasa berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini yang bermotifkan politik.

Ahmad Fadhli juga mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menggunakan perkataan-perkataan yang lebih nuetral seperti mana tema mereka yang tidak menggunakan perkataan Bersih dan Stabil seperti yang digunakan mereka pada kempen PRN.

Sumber: MalaysiaKini, The Star

Related Posts