Tengku Hassanal gesa PDRM ambil tindakan tegas terhadap Muhyiddin | The Reporter

Tengku Hassanal gesa PDRM ambil tindakan tegas terhadap Muhyiddin

Sumber Gambar: Bernama

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menzahirkan kemurkaan dan terkilan terhadap tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang sengaja mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai perdana menteri.

“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titahnya.

Tangkap layar kenyataan di Instagram Story Tengku Hassanal

Tegas baginda, Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik perdana menteri walaupun Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.

“Baginda semasa itu telah memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara serta mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum pelantikan perdana menteri dibuat.

“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022 dan keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” titahnya.

Justeru itu, Tenggku Hassanal menggesa polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen isu 3R (kaum, agama, raja).

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara danterus-menerus menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapar menjadi sebuah negara maju,” titahnya lagi.

Terdahulu, tular ucapan Muhyiddin ketika berkempen di DUN Nenggiri yang mendakwa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Dakwanya juga, sokongan yang peroleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Related Posts