Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan mengumumkan bahawa tempoh pelantikan YBhg. Dato’ Seri Tpr. (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan daripada tarikh asal 15 Ogos 2024 hingga 14 Ogos 2026 kepada 15 Ogos 2024 hingga 14 November 2025. Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Menerusi satu kenyataan, beliau menjelaskan pemendekan tempoh pelantikan itu bertujuan memberi ruang kepada Dato’ Seri Maimunah untuk memulakan peranan baharu di sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) gergasi nasional yang akan diberi tanggungjawab melaksanakan pembangunan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur. Menurut KSN, keputusan itu mengambil kira kepakaran serta pengalaman luas beliau dalam bidang perancangan bandar mampan, terutama ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif UN-Habitat, selain keperluan perkhidmatan di organisasi baharu berkenaan.
“Sepanjang menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dato’ Seri Maimunah telah meninggalkan rekod kepimpinan tinggi yang memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan DBKL berteraskan tadbir urus berintegriti, cekap dan berkesan. Kepimpinan beliau berjaya membawa transformasi positif termasuk pencapaian kewangan DBKL yang menunjukkan lebihan semasa sebanyak RM27.6 juta pada tahun 2024, berbanding defisit sebanyak RM75.3 juta pada tahun 2023 dan RM283 juta pada tahun 2022.
“Lonjakan 137 peratus pada tahun 2024 itu dilihat sebagai bukti keberkesanan kepimpinan transformatif beliau yang memberi penekanan kepada pengurusan kewangan yang berhemat, cekap dan strategik,” jelasnya.
Baca juga:
- Budaya Yeye: ‘Kalau berlaku pada zaman saya, saya sudah tampar’ – MP Ketereh
- Laporan EAIC bongkar kes pasport terbang, 20 pegawai Imigresen dipecat
- Petinju Muay Thai maut dirempuh trak pikap semasa joging
DBKL ke peringkat antarabangsa
Maimunah turut berjaya mengangkat DBKL ke peringkat antarabangsa melalui pelbagai program dan kerjasama strategik. Ini termasuk usahasama dengan UNICEF melalui Program Cash Plus dan Child-Friendly City Initiatives serta kejayaan menganjurkan beberapa acara utama seperti ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) dan Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capital Cities (MGMAC) sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Selain itu, beliau turut mencetuskan pelbagai program bandar hijau dan mampan sejajar dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar karbon sifar, berdaya huni dan tahan iklim melalui pelaksanaan Inisiatif Sifar Sisa, Inisiatif Lingkaran Hijau dan Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP).
Kecemerlangan kepimpinan beliau turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah berprestij di peringkat domestik dan antarabangsa, antaranya Anugerah Kepimpinan Public Relation and Communication Association of Malaysia (PCRA) 2024, Anugerah Nona Superwoman Award 2024, Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik (Bandaraya), Anugerah Menteri KPKT 2025 serta pengiktirafan ‘Women of the Decade’ sempena Women Economic Forum (WEF) ASEAN 2025. Beliau turut dinobatkan sebagai penerima Leadership Award 2025 oleh Fira de Barcelona di World Smart City Expo 2025.
Penempatan baharu
Berdasarkan rekod kejayaan dan keunggulan kepimpinan itu, Kerajaan yakin bahawa penempatan baharu Maimunah akan membolehkan beliau memastikan projek pembangunan mercu tanda Kuala Lumpur dapat direalisasikan dengan sempurna selaras aspirasi MADANI dan harapan rakyat Wilayah Persekutuan.
Bagi pihak Kerajaan, Tan Sri Shamsul Azri merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Dato’ Seri Maimunah atas segala bakti, jasa dan legasi cemerlang yang ditinggalkan sepanjang tempoh beliau menerajui DBKL. Beliau menyifatkan Dato’ Seri Maimunah sebagai tokoh yang berjaya mengangkat nama Kuala Lumpur ke tahap membanggakan.
Kerajaan juga berharap agar Dato’ Seri Maimunah akan terus mengekalkan momentum kecemerlangan dalam organisasi baharu nanti berteraskan nilai dan prinsip MADANI untuk manfaat rakyat dan negara.








