Tayar lori tercabut jadi punca kemalangan ragut 7 nyawa termasuk bayi berusia 2 tahun | The Reporter

Tayar lori tercabut jadi punca kemalangan ragut 7 nyawa termasuk bayi berusia 2 tahun

Tayar lori tercabut
Sumber gambar: Orang Awam

Kejadian tragis yang meragut tujuh nyawa termasuk seorang bayi di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) malam tadi menimbulkan persoalan serius tentang keselamatan kenderaan berat. Insiden berpunca daripada tayar lori jenis Foton yang tercabut dan mencetuskan rantaian perlanggaran maut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, berkata tayar hadapan kanan lori berkenaan dipercayai tercabut sebelum bergolek ke lorong tengah lebuh raya.

“Akibatnya, pemandu bas persiaran melanggar tayar tersebut dan hilang kawalan. Bas itu terbabas ke laluan bertentangan, merempuh Perodua Bezza dan sebuah treler sebelum bertembung dengan Toyota Estima yang dinaiki lapan sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang maut termasuk pemandu Toyota Estima, Khairul Izwan Mazupi, 32; isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak mereka, Muhammad Umar, 2; serta tiga mangsa lain termasuk pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56.

33 mangsa cedera, operasi berlanjutan empat jam

Seramai 33 mangsa mengalami kecederaan dalam kemalangan itu, termasuk dua anak pasangan Khairul Izwan, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, yang parah, manakala adiknya, Nur Sofea Humaira, 4, cedera ringan. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Melaka, Hospital Alor Gajah, dan sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Pisar Aziz, memaklumkan operasi menyelamat melibatkan 27 anggota mengambil masa lebih empat jam.

“Seramai 33 orang yang lain telah dihantar ke Hospital Melaka dan Alor Gajah serta sebuah hospital swasta kerana mengalami kecederaan dalam kemalangan ini.

“Jadi setakat ini kita mengambil masa lebih kurang dalam empat jam dan operasi ini semua sudah terkawal dan proses mengalihkan bas, treler, MPV serta muatan pakaian terpakai yang tercampak daripada treler itu sedang dilakukan,” katanya.

Laluan sesak sejauh 10 kilometer

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas lebih 10 kilometer dari kedua-dua arah. PLUS Malaysia menerusi perkongsian di X memaklumkan, “Kenderaan menuju ke utara dilencongkan keluar ke Plaza Tol Ayer Keroh. Rancang perjalanan anda. Pandu berhati-hati.”

Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati semasa memandu, terutama ketika musim cuti yang menyaksikan peningkatan trafik di lebuh raya.

Sumber: Malaysia Gazette, Sinar Harian, Kosmo

Related Posts