Tawaran 'Trip nikah di Thailand' boleh dikenakan undang-undang - The Reporter

Tawaran ‘Trip nikah di Thailand’ boleh dikenakan undang-undang

Sumber Gambar: Bernama

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, agensi yang menyediakan pakej ‘Trip Nikah di Thailand’ boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

Beliau menjelaskan bahawa pakej sebegini bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di Malaysia, meskipun perkahwinan tersebut sah dari sudut hukum syarak jika memenuhi syarat-syarat nikah seperti kehadiran wali dan saksi.

“Jika perkahwinan itu dilakukan di Thailand dan memenuhi syarat nikah, ia sah dari sudut hukum. Namun, ia tetap melanggar peraturan negara. Kita ingin melahirkan umat Islam yang bukan sahaja mematuhi hukum agama tetapi juga undang-undang negara,” katanya.

Kenyataan ini dibuat susulan promosi pakej “Trip Nikah di Thailand” yang tular di TikTok. Dalam promosi tersebut, pasangan dari Malaysia hanya perlu membayar caj serendah RM1,699, dengan pilihan “nikah dulu bayar kemudian.”

Dalam pada itu, Dr. Mohd Na’im turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan promosi seperti ini, termasuk yang didakwa dilakukan oleh agensi pelancongan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Peraturan wujud untuk melindungi hak semua pihak secara adil. Saya menyeru masyarakat agar berhati-hati dengan iklan di media sosial kerana ada risiko ditipu.

“Disebabkan ingin cepat menikah, akhirnya menjadi mangsa penipuan—nikah tidak sah, duit pula lesap,” katanya.

Sumber: Bernama

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!