'Tanpa Amerika, dunia akan mati' - Donald Trump | The Reporter

‘Tanpa Amerika, dunia akan mati’ – Donald Trump

Donald Trump berucap di podium dengan mikrofon, mengenakan sut biru gelap dan tali leher merah.
Donald Trump sekali lagi cetus kontroversi dengan kenyataan “tanpa Amerika, dunia akan mati”. | Kredit gambar: Manuel Balce Ceneta/AP

Donald Trump sekali lagi mencetuskan perdebatan selepas mendakwa dunia tidak akan mampu bertahan tanpa Amerika Syarikat. Kenyataan luar biasa itu dibuat ketika sidang media di Oval Office pada 2 September lalu, yang turut mengumumkan pemindahan US Space Command dari Colorado ke Alabama.

Dari khabar angin kematian ke kenyataan mengejutkan

Sidang media tersebut turut dihujani persoalan tentang kesihatannya, selepas timbul khabar angin di media sosial kononnya beliau telah meninggal dunia. Seorang wartawan bertanya dengan sinis bagaimana Trump tahu bahawa beliau “sudah mati” pada hujung minggu.Trump menjawab dengan tenang bahawa beliau tidak pernah peduli dengan khabar angin itu.

“Saya hanya tidak muncul dua hari, terus ada yang kata saya ada masalah. Biden berbulan tak muncul, tiada siapa kata apa-apa,” katanya sambil membandingkan dirinya dengan presiden terdahulu.

Namun perhatian lebih besar tertumpu pada kenyataannya bahawa dunia tidak akan bertahan tanpa Amerika.

“Tanpa Amerika Syarikat, seluruh dunia akan mati. Saya jadikan negara ini besar dalam empat tahun pertama,” katanya penuh yakin.

Baca juga:

Dakwaan ‘tamatkan tujuh perang’

Trump juga mengangkat dirinya sebagai pendamai dunia. Beliau mendakwa berjaya menyelesaikan tujuh konflik global, termasuk pertikaian Israel-Iran, India-Pakistan, Armenia-Azerbaijan dan Serbia-Kosovo. Katanya, banyak konflik tersebut berpunca daripada isu perdagangan dan dasar tarif beliau berjaya meredakan ketegangan.

Pentadbiran Trump menegaskan terdapat “lebih banyak kemajuan ke arah keamanan berbanding sebelum ini” hasil kepimpinannya. Namun, pakar antarabangsa tidak sepenuhnya bersetuju.

Michael O’Hanlon dari Brookings memberi sedikit kredit terhadap peranan Trump dalam meredakan ketegangan Israel-Palestin, tetapi menyifatkan pencapaian itu hanya sementara. Sementara itu, Larry Haas menolak keras dakwaan Trump membawa keamanan di Timur Tengah, menegaskan Iran sedang giat mengukuhkan kedudukannya.

Pakar lain seperti Josh Kurlantzick dari Council on Foreign Relations pula menegaskan konflik India-Pakistan tidak pernah benar-benar berakhir, manakala ketegangan Mesir-Ethiopia tidak wajar digelar perang.

Netizen persoal kewarasan dakwaan Trump

Seperti biasa, kenyataan Trump mencetuskan reaksi hangat di internet. Ada yang menyifatkannya sebagai benar-benar tidak masuk akal, manakala yang lain menuduh beliau berkhayal. Bagi pengkritik, dakwaan beliau menamatkan tujuh perang dianggap keterlaluan dan sukar dibuktikan.

Namun bagi penyokong tegar Trump, naratif bahawa dunia memerlukan Amerika di bawah kepimpinannya kekal menjadi bahan kempen politik yang ampuh.

Related Posts