Seorang penunggang penghantar makanan Grab Food mencuri tumpuan ramai selepas kisahnya yang penuh inspirasi tersebar di media sosial.
Lelaki yang dikenali sebagai Ahmad Nabil mulai menyertai perkhidmatan Grab pada tahun 2022. Menerusi hantaran di TikTok itu, Nabil sebelum ini berdepan dengan masalah kewangan disamping perlu menyara keluarga. Bagaimanapun, seperti pepatah Melayu, ‘usaha tidak mengkhianati hasil’, kewangan Nabil mula stabil dan kehidupannya sedikit demi sedikit semakin terurus selepas menyertai Grab.
Difahamkan, Nabil telah kehilangan tangan kirinya setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di LPT 2 Bukit Besi- Ajil pada tahun 2017.
Walaupun berdepan cabaran besar, beliau tidak membiarkan kekurangan fizikal itu menghentikan semangatnya untuk terus bekerja. Dengan tangan kanan sebagai satu-satunya anggota tangan yang berfungsi, dia terus meneruskan penghantaran untuk menampung kehidupan sendiri dan keluarga.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Kisahnya yang penuh ketabahan dan keazaman ini telah menarik perhatian ramai netizen. Ramai yang terharu dan memuji beliau kerana tidak mengalah meskipun menghadapi ujian yang berat. Ada yang berkongsi bahawa melihat beliau bekerja tanpa tangan kiri membuatkan mereka menilai semula erti kesyukuran dalam hidup.
Nabil juga menjawab persoalan netizen tentang bagaimana dia melawan segala kesedihan dengan ujian itu.
“Kalau ikutkan dulu saya rasa tertekan macam orang lain bila sesuatu dari kita Allah uji. Tapi saya fikir balik ada asbab kenapa Allah uji. Disitulah datangnya semangat saya,” katanya.
Selain mendapat pujian, kisah beliau turut menjadi inspirasi kepada mereka yang menghadapi cabaran fizikal dan kesukaran hidup, menunjukkan bahawa keazaman dan ketekunan mampu mengatasi apa sahaja halangan.
“Kepada yang malas nak kerja tu, yang sihat tubuh badan sempurna, jadikanlah abang ni sebagai contoh yang baik. Semoga abang ni dan kita dipermudahkan segala urusan,” kata netizen.








