Kitaran pendidikan tradisional mungkin dirombak
Kerajaan sedang mempertimbangkan satu perubahan besar dalam sistem pendidikan negara iaitu memendekkan tempoh persekolahan sehingga pelajar tamat pada usia 16 tahun.
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha menyelaras semula struktur pendidikan agar lebih efisien, bermula dari prasekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menjelaskan, cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada reformasi pendidikan yang sedang dalam proses kajian, termasuklah cadangan oleh bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Menurutnya, sistem persekolahan 11 tahun yang bermula pada umur tujuh tahun kini dilihat terlalu panjang dan tidak selari dengan keperluan semasa.
“Kita perlu menilai kembali tempoh pendidikan agar ia lebih sesuai dengan keperluan masa depan dan tidak berlaku pertindihan antara pendidikan asas dan tinggi,” katanya.
Baca juga:
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
- Netanyahu kritik tindakan Ben-Gvir terhadap aktiviS GSF
- Rakaman dron Haroqs jadi bukti dunia, dedah detik cemas sebelum diserbu tentera Israel
Penubuhan Majlis Pendidikan Negara pacu penyelarasan dasar
Perubahan ini turut seiring dengan penubuhan Majlis Pendidikan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Majlis ini berperanan memastikan wujud kesinambungan dan penyelarasan antara pendidikan rendah, menengah dan tinggi.
Zambry turut memaklumkan bahawa pelan pendidikan tinggi 10 tahun telah dirangka dan kini masa untuk menyelaraskannya dengan Kementerian Pendidikan.
“Matlamat kita adalah untuk elakkan dua hala tuju berbeza dalam satu sistem. Kita mahu satu ekosistem pendidikan yang bergerak lancar dan tidak terpisah antara satu peringkat dengan yang lain,” ujarnya.
Sumber: Buletin TV3











