Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan memilih laluan penerbangan luar biasa ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengelak kemungkinan ditahan susulan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor CNN.
Menurut data penerbangan yang dipetik CNN daripada laman penjejak FlightRadar24, Netanyahu berlepas dari Tel Aviv pada malam Rabu untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump.
Kebiasaannya, pesawat rasmi akan melintasi beberapa negara Eropah, namun kali ini ia memilih laluan memanjang di atas Laut Mediterranean sebelum melalui Selat Gibraltar. Pesawat hanya melintasi ruang udara Greece dan Itali buat seketika, tetapi mengelak sepenuhnya Perancis serta Sepanyol, sekali gus menjadikan perjalanan lebih panjang.

Baca juga:
- Dua bayi tertukar di hospital, kebenaran terbongkar selepas lebih tiga dekad
- Video tular rakam lelaki Amerika pasang lagu Negaraku di depan White House
- Misteri kehilangan vlogger Thailand terjawab, ditemui mati di Hotel Georgia
Punca masih misteri
Pejabat Perdana Menteri Israel tidak memberikan penjelasan rasmi berhubung laluan tersebut. Laporan The Jerusalem Post menyatakan perubahan itu mungkin berkait faktor keselamatan dan teknikal, termasuk tambahan bahan api.
Menariknya, seorang diplomat Perancis memberitahu CNN bahawa Israel sebenarnya sudah mendapat kebenaran untuk menggunakan ruang udara mereka, namun akhirnya memilih laluan lain tanpa penjelasan lanjut.

Baca juga:
- ‘Ini semua ketentuan Allah, saya tak salahkan sesiapa’ – Ismahalil
- Bekas penyampai radio Ismahalil dihukum penjara 30 tahun
- ‘Bukan nak menjilat Cina, tapi hargai manfaat diberi’ – Sheikh Omar
Risiko waran ICC
November lalu, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Sekiranya pesawatnya melintasi negara anggota ICC, ada kemungkinan ia diarahkan mendarat dan beliau ditahan.
Israel dan Amerika Syarikat bukan anggota ICC, tetapi banyak negara Eropah adalah ahli, justeru menimbulkan risiko jika laluan tradisional digunakan. Dalam perjalanan ke AS pada Julai lalu, Netanyahu masih melintasi ruang udara Greece, Itali dan Perancis tanpa sebarang masalah.











