Tak serik berkhalwat, tukang rumah jadi individu pertama dihukum 6 sebatan di khalayak ramai | The Reporter

Tak serik berkhalwat, tukang rumah jadi individu pertama dihukum 6 sebatan di khalayak ramai

hukuman sebatan khalwat di khalayak ramai
Gambar hiasan: Reuters | Hukuman sebatan terhadap individu yang didapati melakukan maksiat di Aceh, Indonesia.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu dihukum enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.

Hukuman tersebut akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, pada 6 Disember depan selepas solat Jumaat, sebagaimana diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, yang memperuntukkan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda maksimum RM5,000, atau penjara tiga tahun bagi kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya.

Kamalruazmi turut menjatuhkan denda RM4,000 atau penjara enam bulan sekiranya denda gagal dibayar.

Dalam penghakiman, Kamalruazmi menegaskan hukuman bertujuan memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali. Kamu (Mohd Affendi) pernah disebat dan dipenjara tetapi buat lagi (berkhalwat). Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah memberi keinsafan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh kerana melakukan khalwat bersama seorang wanita berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada jam 1.40 pagi, 16 Jun lalu.

Sebelum ini, Mohd Affendi pernah dikenakan empat sebatan dan denda RM3,000 atas kesalahan sama pada 19 Februari lalu, serta denda RM2,700 atau tiga bulan penjara pada 11 Julai 2023.

Sumber: Harian Metro

Related Posts