Sebagai individu yang dikenali ramai, pempengaruh Ryan Bakery menegur pempengaruh media sosial yang lain agar lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan (konten) jenaka yang boleh menyentuh sensitivity atau menyinggung perasaan orang lain.
Mengulas isu tular baru-baru ni yang melibatkan seorang pempengaruh terkenal, Ryan yang merupakan pemenang Digital Content Creator (Entertaiment) 2024 menegaskan, tidak semua pihak selesa apabila nama mereka disebut dan digunakan sebagai bahan kandungan video.
“Kita perlu berhati-hati apabila membuat konten terutama melibatkan nama seseorang.
“Si pelaku juga adalah seseorang yang dikenali dan begitu juga dengan nama individu yang disebut. Mungkin ada segelintir yang boleh terima jenaka seperti itu, tetapi bukan semua orang sama,” katanya.
Memetik laporan dari Kosmo, Ryan berkata beliau pernah berhadapan dengan situasi yang sama, namun beliau memohon kemaafan bagi mengelakkan isu sebegitu tidak dipanjangkan.
“Nasi sudah jadi bubur, minta maaf sahajalah secara profesional dan jangan panjangkan lagi masalah itu. Bila ego tinggi, ia jadi lebih susah dan sukar.
“Sebagai orang muda kita mungkin tidak tahu perasaan orang tua, bukan semua orang boleh terima lawak kita.
“Saya juga pernah dikecam gara-gara hal yang lebih kurang sama. Kemudian saya buat permohonan maaf dan menjelaskan bahawa saya tidak ada sebarang niat buruk. Saya ambil pengajaran untuk tidak mengulanginya lagi,” katanya lagi.
Ryan juga mengingatkan kepada pempengaruh yang mempunyai jutaan pengikut supaya berlapang dada dan merendahkan ego serta menerima teguran.
Katanya, mereka perlu sedar segala yang dimiliki atas sebab konten yang dibuat selain berpendapat adab merupakan perkara utama yang wajar ditegur.








