Tak sedar tong gas bocor, kereta meletup ketika nyala pemetik api untuk merokok - The Reporter

Tak sedar tong gas bocor, kereta meletup ketika nyala pemetik api untuk merokok

Seorang lelaki berusia 48 tahun melecur di kedua-dua belah tangan dan muka selepas tong gas petroleum cecair (LPG) yang bocor meletup ketika dia menghidupkan pemetik api untuk merokok, lapor Harian Metro

Dalam kejadian jam 4.40 petang Jumaat lalu di Jalan Subang Mas, Taman Pinggiran USJ1, Subang Jaya, kereta Toyota Viosnya juga mengalami kerosakan teruk. 



Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, mangsa dipercayai tidak menyedari berlaku kebocoran pada tong gas memasak yang diletakkan di bahagian ruang kaki tempat duduk penumpang hadapan. 
“Apabila kereta itu sampai di sebuah persimpangan lampu isyarat, mangsa membuka cermin dan menghidupkan rokok dengan menggunakan pemetik api. 
“Ruang dalam kereta ketika itu sudah dipenuhi dengan gas LPG yang bocor dan api daripada pemetik api mencetuskan letupan dalam kenderaannya. Bagaimanapun tiada kebakaran berlaku dalam kenderaan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Choo Lily mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan akibat kecederaan yang dialaminya.

“Punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan. Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!