'Tak perlu post buat benda haram,' pempengaruh tegur tindakan tayang aktiviti kelab malam | The Reporter

‘Tak perlu post buat benda haram,’ pempengaruh tegur tindakan tayang aktiviti kelab malam

Seorang pempengaruh mualaf menegur kandungan media sosial yang dimuatnaik oleh segelintir masyarakat beragama Islam di kelab malam.
Rickkee.Lee membuat teguran kepada individu-individu yang gemar memuatnaik aktiviti di kelab malam. Gambar: TikTok Rickkee.Lee.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Apabila kehidupan berpaksikan kepada media sosial, segala kandungan kehidupan dimuat naik tanpa memikirkan soal dosa, pahala atau kesan yang mungkin berlaku.

Kandungan berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang terlibat, malah turut mencetuskan prasangka negatif dalam kalangan masyarakat luar yang bukan beragama Islam.

Seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Rickkee.Lee meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir masyarakat, khususnya yang beragama Islam, yang tanpa segan silu menayangkan gambar berada di kelab malam.

Bukan itu sahaja, pempengaruh berkenaan yang merupakan seorang mualaf turut mendedahkan bahawa ada yang memuat naik gambar meja yang dipenuhi dengan minuman beralkohol.

“Pergi kelab, dah lah post story, tunjuk pula meja tu penuh dengan arak,” katanya.

Pendedahan itu, menurutnya, sangat membimbangkan kerana seolah-olah memberi gambaran kepada masyarakat bukan Islam bahawa perbuatan tersebut tidak menyalahi ajaran Islam.

“Dalam tak sedar, kita dah tunjuk pada orang bukan Islam yang orang Muslim pun boleh pergi kelab.

“Saya faham kadang-kadang iman kita tak kuat, tapi kalau nak buat benda haram, berdosa, tak perlulah tunjuk di media sosial. Sebelum ini rakan sekerja saya tanya orang Islam boleh minum arak ke? Sebab katanya ada kawan dia, Melayu, minum arak,” ujarnya.

Teguran pempengaruh tersebut mendapat persetujuan ramai netizen yang menyifatkan individu-individu berkenaan sebagai mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia kelab malam.

Related Posts