Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
MEDAN, INDONESIA – Seorang ibu di Medan, Kamelia, 38, meluahkan rasa sedih dan marah apabila anaknya, MA, murid Tahun 4 di sebuah sekolah swasta di Kota Medan, dihukum belajar di lantai selama dua hari berturut-turut kerana menangguh bayaran sumbangan pembinaan pendidikan (SPP) sebanyak Rp180,000 (RM53).
Kamelia mendakwa, hukuman itu bermula pada Isnin dan Selasa, 6 hingga 7 Januari 2025 lalu, di mana anaknya duduk di lantai dari pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Dia hanya mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh anaknya pada Rabu, 8 Januari, sebelum bergegas ke sekolah untuk mendapatkan penjelasan.
“Kejam sekali guru mu, nak”
Kamelia yang ditemui di kediamannya di Jalan Brigjen Katamso, menceritakan anaknya dihukum kerana keluarga mereka belum dapat menjelaskan yuran sekolah akibat kelewatan dana bantuan kewangan Program Indonesia Pintar (PIP) untuk tahun 2024 masih belum diterima.
“Saya tak sangka anak saya diperlakukan begitu. Sepatutnya kalau nak menghukum, hukum saya, bukan dia. Anak saya hanya ingin belajar,” katanya sebak.
Menurutnya, dia hampir menjual telefon bimbitnya untuk melunaskan tunggakan SPP, tetapi merasa terkilan apabila melihat anaknya diperlakukan seperti itu.
Guru kelas murid dipersoal
Setibanya di sekolah, Kamelia menemui anaknya yang sedang duduk di lantai di dalam kelas, dikelilingi rakan-rakannya yang duduk di kerusi. Kamelia turut bertanya kepada guru kelas tentang peraturan tersebut, namun jawapan yang diberikan menambah lagi kekecewaannya.
“‘Anak ibu sudah saya suruh pulang, tetapi dia tak mahu.’ Kalau dia tak mahu pulang, kenapa dihukum duduk di lantai?” soal Kamelia.
Guru Besar sekolah yang hadir untuk menangani perkara itu dilaporkan tidak mengetahui tentang hukuman tersebut dan menyatakan ia bukan arahan pihak sekolah.
Insiden ini telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen, yang rata-ratanya menyatakan simpati kepada keluarga tersebut dan mengkritik tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Sumber: Kompas








