Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perbuatan tidak bertanggungjawab pempengaruh Ammar Nazhan dan Aras yang menyebarkan kandungan media sosial palsu di Indonesia bukan sahaja memalukan negara, malah memberi kesan negatif kepada generasi muda.
Persatuan Pengguna Siber Malaysia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka bagi memastikan perbuatan sama tidak berulang. Presidennya, Siraj Jalil berkata, langkah tegas perlu diambil supaya insiden sebegini menjadi pengajaran kepada pempengaruh lain.
“Kebanyakan pengikut mereka terdiri daripada golongan muda yang mudah terpengaruh. Jika kandungan jelik dan tidak bermoral ini dibiarkan, ia boleh menjadi trend yang sukar dikawal,” katanya.
Terdahulu, Ammar dan Aras memohon maaf selepas kandungan palsu mengenai kehilangan rakan mereka, Eyka, di dalam hutan Bandung tular. Mereka mengakui bahawa video tersebut hanyalah sekadar hiburan untuk meraih tontonan dan pengikut, serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Siraj turut menegaskan tindakan Ammar dan Aras bukan sekadar isu moral, tetapi juga boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.
“Jika hanya memohon maaf tanpa tindakan lanjut, ia boleh menormalisasikan perbuatan ini seolah-olah ia bukan satu kesalahan. Kerajaan perlu menilai sejauh mana Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dapat membantu mengawal selia kandungan digital yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali berpendapat, sikap pempengaruh sendiri menjadi punca utama mereka menghasilkan kandungan kontroversi.
“Mereka faham bahawa kandungan sebegini boleh meraih perhatian ramai, meskipun menerima kecaman. Algoritma media sosial pula akan meningkatkan keterlihatan kandungan berdasarkan jumlah tanda suka, komen dan perkongsian,” katanya.
Beliau menasihatkan masyarakat agar tidak memberikan reaksi seperti tanda suka atau berkongsi kandungan yang bersifat kontroversi kerana tindakan itu hanya membantu menaikkan populariti pempengaruh berkenaan.
“Pihak berkuasa boleh memperketatkan garis panduan etika, meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab digital serta bekerjasama dengan platform media sosial untuk menyekat kandungan tidak sesuai,” katanya.
Sumber: Harian Metro








