Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang kurang menyenangnya terhadap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
Tony Pua menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup seperti gelandangan yang sedang mencari peluang untuk kekal relevan di arena politik.
Kenyataan itu dibuat oleh pemimpin DAP berkenaan semasa berucap di Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP. Dia turut menyatakan harapan untuk melihat Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan sendiri. Tetapi tanpa membabitkan UMNO dan BN, sekiranya menang di PRU akan datang.
Kenyataan provokatif Tony Pua itu mengundang rasa kurang senang pemimpin UMNO/BN yang menyelarnya secara terbuka.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook juga menyelar kenyataan tersebut yang bersifatkan serangan. Kenyataan itu katanya, tidak wajar dikeluarkan.
Menurut Anthony, kenyataan Tony Pua itu adalah pendiriannya sendiri yang tidak mewakili parti.
“Saya ingin mengingatkan, semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan. Demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.
“Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap di pentas DAP.
“Kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.
“Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini,” tegasnya.
Sumber: Harian Metro, Kosmo! Online








