Gelagat tarian tradisional oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan selebriti Bella Astillah mencuri tumpuan ramai, kerana kesungguhan mereka dalam menjayakan tarian tersebut.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Bella memaklumkan bahawa kolaborasi tarian bersama Syed Saddiq merupakan pengalaman pertama mereka berdua, dan latihan dilakukan dari siang hingga malam bagi memastikan gerak tari tradisional Sabah dan Sarawak itu dapat dilakukan sebaik mungkin.
“Kolaborasi tarian pertama saya bersama YB Syed Saddiq. Tak sempurna, tapi memang sangat menyeronokkan. Ini transisi paling mengagumkan, dari siang terus ke malam.
“Terima kasih YB, saya amat menghargai keberanian dan kesanggupan YB untuk mencuba sesuatu yang baharu. Itulah yang menjadikannya begitu istimewa,” katanya.
Syed Saddiq pula secara berseloroh mengakui bahawa beliau agak kaku semasa menari dan rakaman perlu diambil semula beberapa kali. Namun katanya, kehadiran Bella banyak membantu mengurangkan rasa kekok sepanjang proses tersebut.
“Dari petang sampai ke malam kena retake banyak kali sebab saya kaku, macam robot. Nasib baik ada Bella, jadi kuranglah rasa kaku tu.
“Tak tahu sama ada nak ketawa atau menangis bila tengok semula. Tak apa lah, izinkan saya fokus dalam Parlimen saja,” katanya berseloroh.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak.








