'Syed Mokhtar salur peruntukan tambahan RM30 juta bela nasib pesawah miskin' - PM - The Reporter

‘Syed Mokhtar salur peruntukan tambahan RM30 juta bela nasib pesawah miskin’ – PM

Peruntukan RM30 juta
Sumber Gambar: FB Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, telah bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan dalam membela nasib pesawah miskin.

Menurut Anwar, persetujuan tersebut dimaklumkan oleh Syed Mokhtar ketika beliau menghubungi tokoh berkenaan pada Khamis. Keputusan ini dibuat susulan pengumuman mengenai penyelarasan harga lantai belian padi kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik, yang akan berkuat kuasa mulai Ahad ini.

“Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) yang telah bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terus terbela. Sebelum ini, Bernas telah menyalurkan sebanyak RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin.

“Insya-Allah, kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara langsung kepada pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam sesi penerangan di Dewan Rakyat mengenai situasi semasa industri padi dan beras negara pada Khamis, memaklumkan bahawa harga lantai belian padi akan dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa 16 Februari ini.

Selain itu, Mohamad turut menyatakan bahawa harga beras putih tempatan akan dikekalkan pada kadar RM2.60 sekilogram, dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran berjumlah sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa penyelarasan harga lantai belian padi ini merupakan kali kedua yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan pendapatan pesawah.

“Kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada tahun 2023 setelah hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada kadar RM1,200. Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda utama saya sebaik diberi amanah untuk menerajui negara,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Total
0
Share