Satu insiden tular memaparkan seorang lelaki yang bertindak menumbuk dan memukul seorang lelaki dipercayai pekerja di sebuah kedai makan di Machang Bubok, Bukit Mertajam baru-baru ini.
Susulan itu, seorang lelaki telah ditahan dan direman sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris dalam satu kenyataan berkata, suspek didapati menumbuk muka dan memukul kepala mangsa menggunakan penutup tong sampah.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan tangkapan terhadap suspek dilakukan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kejadian berpunca daripada perselisihan faham isu peribadi dan tiada kaitan dengan isu perkauman.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat keselamatan awam dan harta benda,” katanya.








