Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor, malam kelmarin selepas dipercayai berang apabila ditegur oleh pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan awal mendapati suspek, yang berusia lingkungan 30-an, disyaki berada di bawah pengaruh dadah ketika insiden berlaku.
“Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya kepada media hari ini.
Tembakan yang dilepaskan sekitar jam 10.50 malam itu menyebabkan seorang pekerja pembersihan mengalami kecederaan.
Polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman sedang giat memburu suspek dan yakin kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata suspek yang sedang diburu adalah lelaki tempatan berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sumber: Bernama








