Ungkapan, “Pemergianmu sangat menyayat hati sayang” yang ditulis oleh isteri mangsa menjadi detik paling memilukan selepas mayat seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui terapung berhampiran Pangkalan Weld, dua hari selepas dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang.
Luahan itu dimuat naik di TikTok berserta gambar arwah, menggambarkan kehilangan besar yang ditanggung keluarga muda ini.
Isterinya, Nurul Natasha Amyra, 19, dimaklumkan tentang penemuan itu sekitar jam 9.50 pagi sebelum mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Mangsa, Elmi Nur Zamani Aizat Abdul Azim, ditemui kira-kira lapan kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh pada Ahad. Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang memaklumkan operasi SAR digerakkan sejak menerima panggilan kecemasan jam 6.56 petang, dengan bantuan Polis Marin, Maritim Malaysia, APM serta pasukan PPDA.
Pencarian diteruskan sehingga pagi berikutnya sebelum Polis Marin melaporkan penemuan mayat pada jam 9.35 pagi, menamatkan operasi pada 11.45 pagi.
Keluarga mohon hentikan spekulasi

Abang iparnya, Fitri, memaklumkan banyak maklumat tidak tepat tular di media sosial sejak kejadian itu. Katanya, keluarga tidak mampu menyekat semua spekulasi tetapi merayu ia dihentikan kerana mengganggu emosi balu yang sedang sarat mengandung lima bulan dan kini terpaksa meneruskan hidup bersama dua anak kecil.

Bungkusan pakaian dan motosikal mangsa turut ditemui di tepi jambatan pada hari kejadian, namun punca sebenar kejadian masih belum dijelaskan pihak berkuasa.
Menurut keluarga, jenazah Elmi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Lahar Tabut, Penaga pada petang ini.
Sumber: Buletin TV3, Sinar Harian








