Suami beri dadah kuat kepada isteri hingga tidak sedarkan diri untuk diperkosa 71 lelaki | The Reporter

Suami beri dadah kuat kepada isteri hingga tidak sedarkan diri untuk diperkosa 71 lelaki

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Gisèle Pélicot, 72, dari Perancis, muncul di mahkamah untuk berdepan dengan 51 lelaki yang dituduh melakukan serangan seksual ke atasnya.

Lapor Daily Star, kejadian itu berlaku ketika mangsa tidak sedarkan diri akibat diberi dadah yang kuat oleh suaminya sendiri.

Rekrut lelaki tidak dikenali secara online

Suaminya, Dominique Pélicot, 71, bekas pekerja elektrik dan juga bapa tiga orang anak, didakwa telah mengundang ramai lelaki melalui sebuah laman untuk melakukan hubungan seks dengan Gisèle.

Dominique menggunakan laman web coco.fr (yang kini ditutup) merekrut lelaki untuk mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut. Dia kemudian mengaku kepada penyiasat, dia telah memberi isterinya dadah yang kuat untuk memastikan dia kekal tidak sedarkan diri semasa serangan seksual itu berlaku.

Ketika perbicaraan, Dominique mendedahkan dia akan mengenakan peraturan ketat ke atas lelaki yang datang ke rumahnya, mengarahkan mereka untuk mengelak daripada menggunakan minyak wangi atau tembakau, membersihkan kuku mereka dan mencuci tangan mereka dengan air panas untuk mengelak isterinya terjaga dari tidur.

Ratusan video, gambar mangsa ditemui

Siasatan polis mendapati, sebanyak 92 kes pemerkosaan yang dilakukan oleh 72 lelaki sejak 10 tahun lalu, di mana 51 daripadanya telah dikenal pasti.

Pihak berkuasa turut menemui ratusan gambar dan video di komputer Dominique, menunjukkan isterinya tidak sedarkan diri dan dalam posisi terdedah.

Mangsa telah diberikan dadah dan diperkosa sehingga dia tidak mempunyai ingatan tentang kejadian menjijikkan itu yang berlaku di kediaman mereka.

Sebelum polis mendedahkan perbuatan Dominique, Gisèle menggambarkan suaminya itu sebagai seorang bapa yang baik dan penyayang. Namun, selepas polis mendedahkan hal sebenar, Gisèle berkata kepada hakim:

“Dia menjijikkan saya. Saya rasa kotor, ternoda dan dikhianati. Rasa seperti dilanda tsunami, dilanggar kereta berkelajuan tinggi,” katanya.

Walaupun masih trauma dengan apa yang berlaku, Gisèle tetap berpegang pada pendiriannya di mana perbicaraan ini harus terbuka kepada umum dan wartawan. Sekali gus memberi pengajaran tentang bahayanya dadah dan pemerkosaan agar kejadian seumpama ini tidak berulang kembali.

Related Posts