Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Starbucks mengumumkan perubahan polisi dengan memperkenalkan kod tingkah laku baharu yang mewajibkan pelanggan membuat pembelian sebelum menggunakan kemudahan seperti tandas atau berada di dalam premis.
Polisi ini akan dilaksanakan di semua cawangan milik syarikat di Amerika Utara dan melarang aktiviti seperti diskriminasi, gangguan, penggunaan alkohol luar, merokok, vaping, penyalahgunaan dadah, dan meminta sedekah.
Menurut jurucakap Starbucks, Jaci Anderson, peraturan ini bertujuan mengutamakan pelanggan berbayar dan memastikan persekitaran kedai yang lebih selesa.
“Kami mahu semua orang merasa dialu-alukan dan selesa di kedai kami,” kata Anderson. Starbucks juga memaklumkan bahawa pekerja akan dilatih untuk menguatkuasakan peraturan ini, dan mereka yang melanggar akan diminta keluar, dengan bantuan pihak berkuasa jika perlu.
Kod tingkah laku baharu ini menggantikan dasar “akses terbuka” yang diperkenalkan pada 2018 selepas insiden penahanan dua lelaki kulit hitam di Philadelphia yang mencetuskan kontroversi besar.
Dasar itu pada mulanya bertujuan mengelakkan diskriminasi, namun mencetuskan cabaran apabila berlaku tingkah laku tidak terkawal, termasuk penyalahgunaan dadah, yang memaksa penutupan 16 cawangan pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks, Brian Niccol, menyatakan langkah ini sebagai usaha memulihkan suasana kedai kopi yang mesra dan selesa seperti dahulu. Beliau berharap peraturan baharu ini dapat mengatasi isu keselamatan dan mengembalikan pengalaman pelanggan yang lebih baik.
Sumber: AP News