Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, dalam sebuah podcast baru-baru ini berhubung tindakan agensi itu semasa pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei 2025.
Dalam kenyataan rasmi, SPRM menegaskan bahawa tuduhan kononnya agensi itu digunakan untuk menyiasat calon-calon tertentu dalam pemilihan parti berkenaan adalah tidak benar sama sekali.
“SPRM menegaskan bahawa siasatan hanya dijalankan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima. Setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Agensi itu turut menafikan dakwaan bahawa pegawainya ‘mengepung rumah’ mana-mana individu. Menurut SPRM, tindakan pegawai hadir ke kediaman individu berkenaan adalah sebahagian daripada prosedur biasa siasatan, termasuk pelaksanaan penggeledahan untuk mendapatkan bahan bukti.
Baca juga:
- ‘Kematian Zara Qairina paling konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri’ – Pakar
- Sin Sing Coffee tepis dakwaan terkait isu peralatan tidak halal
- TNB nafi dakwaan kenaikan tarif elektrik mulai April
SPRM menjelaskan bahawa elemen kejutan dalam tindakan seperti itu adalah perkara biasa bagi mengelakkan risiko pelupusan bukti.
“Ia merupakan satu kaedah siasatan yang biasa termasuk elemen kejutan untuk mengelakkan risiko pelupusan bukti. Selepas pengesahan bahawa individu tersebut tiada di rumah ketika itu, pegawai telah beredar seperti biasa,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, individu berkenaan kemudian hadir sendiri ke pejabat SPRM pada keesokan hari, diambil rakaman percakapan dan dibebaskan tanpa penahanan.
SPRM turut menekankan bahawa mana-mana pihak yang merasakan berlaku salah laku boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM, yang merupakan mekanisme sah dan telus bagi menilai sebarang dakwaan.
Dalam pada itu, SPRM menggesa orang ramai agar tidak membuat tuduhan atau tohmahan tidak berasas secara terbuka di media sosial tanpa bukti kukuh, kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara.








