Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Serangan Israel ke atas Gaza semakin berterusan walaupun terdapat perjanjian genjatan senjata pada Januari lalu. Pelanggaran gencatan senjata ini bukan sahaja memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza tetapi juga menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan dan keamanan di Timur Tengah.
Sehubungan dengan itu, umat Islam di Malaysia diminta untuk bersolidariti dengan insiden yang berlaku ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar menyeru umat Islam di seluruh negara untuk bersatu hati dengan melaksanakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah di masjid serta surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Beliau turut mengingatkan bahawa serangan dan tekanan terhadap rakyat Gaza telah lama berlarutan dan semakin memuncak dalam tempoh kritikal ini. Justeru, beliau menggesa umat Islam yang prihatin agar memohon pertolongan Allah SWT demi melindungi saudara-saudara seagama daripada kezaliman dan kemusnahan yang berterusan.
“Saya turut menyeru semua imam-imam masjid dan surau JAKIM serta JAWI untuk memimpin Qunut Nazilah dalam solat berjemaah, terutamanya pada solat Subuh, Maghrib dan Isyak serta memperbanyakkan doa-doa khusus untuk keselamatan rakyat Palestin serta pembebasan bumi Al-Quds,” ujar beliau.
Dalam kenyataan tersebut juga, beliau berharap agar inisiatif ini menjadi satu manifestasi solidariti umat Islam Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin, sekali gus meraih ganjaran besar di sisi Allah SWT.








