Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Skuad boling lelaki negara mencatat sejarah apabila berjaya menjuarai Kejohanan Piala Dunia Boling IBF (Persekutuan Boling Dunia) dalam acara berpasukan di Kowloon, Hong Kong, semalam.
Malaysia, yang diwakili oleh Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan, Muhd Rafiq Ismail, dan Ahmad Muaz Fishol, menundukkan pasukan Puerto Rico dengan keputusan 3-2 pada perlawanan akhir.
Perlawanan berlangsung sengit apabila Malaysia memenangi set pertama dengan jatuhan pin 203-170. Namun, Puerto Rico bangkit menyamakan kedudukan 1-1 selepas mencatat permainan terbaik mereka dengan keputusan 257-216 pada set kedua.
Malaysia kembali di hadapan dengan kemenangan 197-180 pada set ketiga, tetapi Puerto Rico sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 setelah menewaskan Malaysia dengan keputusan meyakinkan 222-185 pada set keempat.
Pada set penentuan, skuad Malaysia yang kembali bermain di lorong kanan memanfaatkan peluang dengan sempurna, mencatat 227 jatuhan pin berbanding Puerto Rico yang hanya mampu mengumpul 161 jatuhan pin.
Kejayaan ini menandakan kali pertama skuad Malaysia, yang sebelum itu menewaskan Kuwait di peringkat separuh akhir, merangkul kejuaraan dalam acara berpasukan lelaki di Piala Dunia Boling.
Sebagai rekod, Malaysia pernah meraih kejuaraan Piala Dunia dalam kategori perseorangan lelaki melalui Syafiq Ridhwan Abdul Malik di Wroclaw, Poland, pada tahun 2012.
Kecemerlangan skuad lelaki ini turut mengikuti langkah cemerlang pemain wanita negara, Natasha Mohamed Roslan, yang dinobatkan sebagai juara dalam kategori perseorangan wanita minggu lalu.
Natasha, pemenang pingat emas Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023, berjaya menamatkan kemarau 53 tahun tanpa kejuaraan individu wanita di kejohanan itu sejak ia mula dipertandingkan pada tahun 1972.
Sumber: Berita Harian