SKMM siasat pengguna TikTok muat naik kandungan jelik melampau libatkan PM | The Reporter

SKMM siasat pengguna TikTok muat naik kandungan jelik melampau libatkan PM

SKMM siasat pengguna TikTok muat naik hantaran jelik libatkan PM
Gambar: Utusan Online

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang pengguna aplikasi TikTok yang disyaki memuat naik dua kandungan berunsur palsu dan jelik melampau melibatkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.

Menurut kenyataan MCMC, kandungan terbabit dipercayai dimuat naik sebagai reaksi terhadap isu berhubung pesta tidak bermoral dalam negara serta kenyataan rasmi YAB Perdana Menteri mengenai pemberian insentif penghargaan kepada rakyat.

“Hasil semakan mendapati dalam satu lagi hantaran, individu terbabit turut disyaki membuat tuduhan bersifat palsu dan jelik melampau berhubung lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke luar negara,” kata kenyataan itu.

Baca juga:

Bagi membantu siasatan, individu terbabit telah dirakam keterangannya di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada Isnin, 21 Julai 2025. Turut disita adalah satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM milik suspek.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

MCMC dalam kenyataan itu turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk penyebaran kandungan jelik melampau atau tuduhan tidak berasas.

“Tindakan tegas akan terus diambil demi memelihara ketenteraman awam dan keharmonian negara,” tegas MCMC.

Related Posts