Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Orang ramai digesa membantu pihak berkuasa mencari seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Siti Zaharah Mohd Anuar, 47, yang dilaporkan hilang dari rumah pangsanya di Jalan Karak-Mentakab, Temerloh, sejak Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata laporan mengenai kehilangan wanita itu dibuat oleh adiknya yang berusia 41 tahun pada hari kejadian.
Kehilangan Siti Zaharah mula disedari sekitar jam 7 pagi selepas adiknya mendapati wanita tersebut tiada di rumah.
“Pada jam 6 pagi, pengadu mendapati kakaknya masih berada di dalam bilik. Bagaimanapun, selepas terlelap sebentar, pengadu mendapati kakaknya telah tiada.
“Pengadu bersama suami serta adik-beradiknya yang lain telah mencari di kawasan sekitar termasuk taman-taman berhampiran, bandar Mentakab sehingga ke bandar Temerloh namun gagal menemui wanita itu sebelum membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatannya,” katanya.
Kali terakhir wanita itu dilihat, dia memakai baju berwarna biru, seluar hitam, dan tudung merah hati. Wanita tersebut mempunyai ketinggian sekitar 150 sentimeter, berat 60 kilogram, serta berkulit hitam manis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan wanita itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di talian 09-2716222.
Sumber: Sinar Harian








