Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, berdepan risiko hilang kelayakan sebagai ahli parlimen sekiranya gagal membayar ganti rugi RM825,000 seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Georgetown pada 4 Disember lalu.
Mahkamah mendapati Siti Mastura memfitnah veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok, melalui ucapan yang didakwa mengaitkan mereka dengan parti komunis serta pemimpin seperti Chin Peng dan mendiang Lee Kuan Yew.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon, menyatakan pembelaan Siti Mastura berdasarkan komen adil dan keistimewaan bersyarat tidak diterima. Mahkamah mengarahkan beliau membayar RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, RM200,000 kepada Teresa Kok, dan kos RM25,000 kepada setiap plaintif.
Menurut peguam Datuk Adnan Seman, kegagalan membayar jumlah tersebut boleh menyebabkan Siti Mastura diisytiharkan bankrap berdasarkan Seksyen 5 Akta Insolvensi 1967. Perkara 48 (2) Perlembagaan Persekutuan pula menetapkan seorang ahli parlimen hilang kelayakan jika diisytiharkan muflis.
Peguam SN Nair yang mewakili plaintif memaklumkan mahkamah akan mendengar permohonan Siti Mastura untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi pada 23 Januari. Jika ditolak, beliau dikehendaki membayar ganti rugi tersebut pada hari yang sama.
Sumber: Berita Harian