Polis sedang menyiasat dakwaan wujudnya individu yang bermain mercun pada malam 31 Mac lalu, iaitu malam sebelum insiden kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights yang menggemparkan negara baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dakwaan itu antara kandungan dalam 642 laporan polis yang telah diterima setakat ini, semuanya kini disiasat secara terperinci melalui pembukaan Kertas Inkuiri Polis.
“Kesemua laporan ini sedang disiasat lanjut, termasuk satu laporan berkaitan aktiviti bermain mercun pada malam sebelum kejadian,” katanya memetik laporan dari Sinar Harian.
- UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU akan datang
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Catatan doa dan persiapan Haji Lisa Surihani raih perhatian
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 118 percakapan saksi telah dirakam membabitkan pelbagai pihak. Ini termasuk 15 individu terdiri daripada kontraktor dan pekerja yang berkaitan secara langsung dengan siasatan kes.
Bagaimanapun, katanya, siasatan teknikal oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) masih belum dapat dijalankan kerana keadaan lokasi kejadian yang masih tidak stabil.
“Tanah di kawasan itu sangat terjejas akibat letupan. Ia kini turut bertakung air berikutan hujan lebat,” katanya.
Jelas beliau lagi, pelan tindakan teknikal bagi fasa pemulihan melibatkan beberapa peringkat. Fasa pertama telah disiapkan pada 6 April lalu melibatkan pengaliran sementara saliran monsun merentasi paip gas milik Petronas dan kerja heat mapping dalam radius 300 meter, yang mencatat bacaan suhu antara 100 hingga 650 darjah Celsius.








