Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini tular kembali isu mengenai ajaran sesat yang dibawakan oleh Suhaini Bin Mohamad atau Suhai Ibni Mohamad atau Si Hulk yang telah mengundang kebimbangan orang ramai.
Ekoran itu juga beberapa pihak tampil mendedahkan fahaman yang dibawakan oleh kumpulan ini. Kumpulan ini juga didakwa menyebarkan ajaran ini melalui produk air Sihulk yang dilatari dengan propaganda membesar-besarkan pencipta produk dan teori-teori konspirasi doomsday (Hari Kiamat).
Kononnya air Si Hulk dapat rawat segala penyakit
Menerusi hantaran di Public Health Malaysia, produk Si Hulk bermula dengan minuman kesihatan sehingga menjadi ajaran sesat.
“Si Hulk yang merupakan singkatan kepada ‘Society of Islamic Holisticism Universal Linkage Knowledge’ itu pada mulanya beroperasi sebagai perniagaan menjual air minuman yang dicampur madu oleh pengasasnya.
“Dijual dengan harga sekotak RM70, air Si Hulk menjadi perhatian masyarakat apabila air berkenaan dikatakan mampu merawat segala penyakit kronik termasuk kanser, tibi, penyakit jantung dan buah pinggang,” katanya.
Produk sesat diiklankan di media utama
Lagi mengejutkan apabila produk itu dikatakan telah tersebar melalui pengiklanan di media utama seperti Berita Harian dan TV Al-Hijrah.
“Betapa hebatnya minuman kesihatan ini, ia turut dipromosikan di media utama termasuk Berita Harian dan TV Al Hijrah.
“Pada 2021 pengasas dan pengedar telah mempromosikan produk ini sebagai penawar Covid-19 sehingga KKM mengeluarkan kenyataan amaran terhadap produk ini,” katanya.
Kilang air minuman itu bagaimanapun telah ditutup dan sijil halal telah ditarik balik.
“Terkini, aktiviti perniagaan membabitkan kilang air minuman yang dijalankan kumpulan ajaran sesat Si Hulk di Johor telah ditutup dan sijil halal juga telah pun ditarik.
“Ini sekadar satu contoh bagaimana produk kesihatan “sesat” boleh berkembang menjadi kumpulan ajaran sesat hasil janaan keuntungan dari produk kesihatan sesat.
“Masyarakat Malaysia begitu mudah di tipu, pelbagai produk kesihatan yang “sesat” silih berganti muncul di pasaran dengan pelbagai dakwaan manfaat kesihatan yang berlebihan, tetapi masih ramai yang percaya dan terus membeli,” katanya.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam memilih sesuatu produk agar tidak tertipu dengan propaganda yang dibawa.
Sumber: Public Health Malaysia