Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Isu sisa buangan menjadi cabaran utama dalam pemeliharaan alam sekitar. Namun begitu, masih ramai yang belum menyedari potensi luar biasa sisa ini apabila diolah semula menjadi sumber baharu yang memberi nilai ekonomi dan impak positif kepada masyarakat.
Peluang ini juga digunakan oleh sekumpulan pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, yang berjaya mencipta produk makanan berasaskan sisik ikan. Menarik bukan? Satu bahan buangan yang sebelum ini dianggap tiada nilai.
Produk yang diberi nama Serusik ini bukan sahaja berjaya menarik perhatian masyarakat tempatan, malah mengharumkan nama negara apabila memenangi kejuaraan antarabangsa Greenovate 2025. Pertandingan ini dianjurkan oleh Asia Pacific Children and Youth Talent Association yang berpusat di Hong Kong, dan dijalankan secara dalam talian.
Dalam kategori reka bentuk regeneratif peringkat sekolah menengah, kumpulan lima pelajar dari program Seni Kulinari KV Keningau telah dinobatkan sebagai juara.
Menurut laporan TV Sabah, idea penghasilan Serusik tercetus daripada pemerhatian terhadap sisa sisik ikan yang sering menimbulkan bau tidak menyenangkan dan sukar dibersihkan, terutamanya di kawasan dapur, sinki dan saluran paip. Masalah kecil ini memberi inspirasi kepada mereka untuk mencari penyelesaian yang bukan sahaja menyelesaikan isu kebersihan, tetapi juga membuka ruang kepada penciptaan nilai baharu.

Melalui proses penyelidikan dan pembangunan, mereka berjaya mengolah sisik ikan kepada produk makanan yang bukan sahaja selamat dimakan, tetapi juga mendapat maklum balas positif daripada komuniti setempat. Malah, produk ini telah dipasarkan dan mencatat keuntungan dan disifatkan sebagai satu pencapaian yang membanggakan.
Selain kejayaan di peringkat antarabangsa, Serusik turut mencuri tumpuan apabila memenangi pertandingan Reimagine Waste yang dianjurkan oleh Catalyst of Change ASEAN beberapa bulan lalu.








