Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengorbanan isteri pertama menerima kehadiran madu menjadi perkara paling menyentuh hati buat Muhammad Azizi Zakaria, malah diingatkan sendiri oleh hakim supaya menghargai wanita itu atas kesediaan dan keikhlasannya.
Menurut Muhammad Azizi, perasaan terhadap isteri kedua hadir tanpa dirancang dan membuatkan dirinya berdepan konflik dalaman kerana menyedari kesan besar terhadap rumah tangga yang telah dibina.
“Perasaan itu bukan sesuatu saya rancang atau cari. Bila perasaan itu timbul, banyak kali saya rasa bersalah, malah cuba lawan dan jauhkan diri.
“Tapi hati sudah terikat, jadi saya ambil keputusan berterus terang dengan isteri pertama, minta izin dan ikut saluran yang betul,” katanya.
Baca juga:
- Duta Ukraine rayu bantuan kemanusiaan dari Malaysia
- 44 kucing di Rumah Kucing Madad cari keluarga angkat baharu
- ‘Semua saham sudah dilupuskan sejak Julai’ – Azam Baki
Dia berkata, apa yang paling mengharukannya ialah kesediaan isterinya bukan sekadar memberi keizinan berpoligami, malah bersungguh-sungguh membantu memohon kebenaran mahkamah serta memudahkan urusan perkahwinan kedua itu.
“Terharu bila mengenangkan pengorbanannya. Malah hakim di mahkamah sendiri beritahu, saya patut beri penghargaan paling besar buat isteri pertama,” katanya.
Muhammad Azizi turut mengakui dirinya sebak selepas akad nikah kerana memikirkan amanah besar untuk berlaku adil kepada kedua-dua isteri.
“Sebak juga selepas akad nikah kerana memikirkan tanggungjawab saya sebagai suami untuk berlaku adil,” ujarnya.
Isteri pertama akui sedih, tapi pilih kejujuran
Sementara itu, kenyataan isteri pertama Shuhadah Jaafar menjadi perhatian ramai apabila dia berkongsi secara terbuka perasaan sebenar menerima hakikat dimadukan dengan wanita yang juga rakannya sendiri. Shuhadah tidak menafikan perasaan sedih dan terkejut apabila mengetahui hasrat suaminya.
“Bila tahu suami ada hati dengan kawan saya dan nak berkahwin dengannya, memang saya sedih. Lagipun, isteri mana yang nak dimadukan, malah saya sendiri ambil masa untuk berfikir dan pertimbangkan perkara itu,” katanya.
Namun menurutnya, kejujuran suami yang mahu menghalalkan hubungan menjadi faktor utama dia akhirnya menerima keputusan tersebut.
“Tapi bila difikirkan semula dan suami pun berterus terang niatnya nak halalkan hubungan, saya terima kerana yang penting mereka tak ada hubungan di belakang saya. Takut jika tak izinkan, jadi perkara yang bukan-bukan pula di kemudian hari nanti,” katanya.
Dia turut berkongsi kisah itu di media sosial bagi mengelakkan fitnah serta memberi peringatan kepada lelaki yang berniat berpoligami supaya berterus terang dengan isteri pertama.
“Jangan ambil mudah dengan kahwin senyap-senyap atau di seberang,” katanya.
Shuhadah berharap masyarakat tidak melabel isteri kedua sebagai perampas, sebaliknya memahami situasi sebenar yang berlaku, selain berharap suaminya mampu berlaku adil.
Sumber: Harian Metro








