Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad tampil meluahkan kekesalan terhadap segelintir pengguna media sosial yang didakwa semakin berani mengumpat serta menyebarkan fitnah secara terbuka di platform awam tanpa memikirkan kesan dan akibat.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram, Uyaina berkata, sikap segelintir netizen yang berselindung di sebalik akaun media sosial untuk menyerang dan menghina selebriti semakin menjadi-jadi kerana merasakan mereka tidak akan dikenakan tindakan.
“Lepas kes semalam, masing-masing delete komen dan private atau deactivate akaun. Semua lari bertempiaran macam lipas kena spray,” katanya sinis.
Baca juga:
- Dituduh ‘cekik darah’ caj RM30 baiki kalkulator, lelaki tampil beri penjelasan
- MCMC buka siasatan, individu disyaki sebar kandungan palsu terhadap SPRM
- Nash alami serangan jantung, 80 peratus saluran tersumbat
Perlu bersuara
Menurut Uyaina, budaya ini timbul kerana masyarakat terlalu terbiasa dengan nasihat agar artis tidak perlu melayan kecaman dan sebaliknya terus bersabar.
“Mungkin sebab kita dah biasa dengan nasihat macam ni: ‘Biarkan je. Ignore je haters tu semua. Jangan jadi artis kalau tak kental.’ Tapi, jadi artis atau public figure ni memang kena terima je ke kalau jadi mangsa buli dan hinaan? Dan akan terus dilabel koyak atau melatah kalau kita bersuara?” soalnya.
Tambah Uyaina, walaupun pendekatan ‘berdiam diri’ ada kebaikannya terutama dari segi kesihatan mental, namun ia juga secara tidak langsung memberi ruang kepada ‘kaki mengumpat’.
“Benda ni dah jadi kebiasaan, malah menyeronokkan kerana ramai yang turut serta mengumpat. Kononnya budaya ‘woke’,” ujarnya.
Bersemuka bukan berselindung
Dalam kenyataan sama, Uyaina turut mendedahkan pernah difitnah oleh seorang individu yang mendakwa suaminya pernah menguruskan permohonan pinjaman beliau.
“Ada yang cakap suami dia banker dan pernah handle loan application saya. Katanya saya kekwat kalah dato datin. Padahal saya tak pernah buat sebarang pinjaman sepanjang hidup saya. Jadi sama ada si isteri menipu atau si suami yang buat cerita. Ini fitnah dan merosakkan reputasi saya,” tegasnya.
Namun, apabila diminta untuk berkongsi butiran suami yang dimaksudkan, individu tersebut segera memadamkan komen.
“Takut,” katanya ringkas.
Susulan insiden itu, Uyaina mengajak orang ramai untuk menormalisasikan tindakan ‘confrontation’ atau bersemuka secara beradab apabila difitnah atau dikecam.
“Tengok, berani ke tidak? Itu belum saya ambil tindakan undang-undang lagi. Saya boleh lakukannya atas banyak asas seperti fitnah, buli siber, gangguan. Saya boleh cari anda hanya melalui username dan e-mel. Lengkap dengan tempat tinggal,” tegasnya lagi.
Terdahulu, tular di aplikasi Thread hantaran dan beberapa komen yang mengkritik Uyaina sebagai pengacara di sebuah stesen televisyen selain dakwaan mengenai personaliti beliau.
Sumber: Uyaina Arshad










