Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Industri hiburan sekali lagi dikejutkan apabila seorang lagi penyampai radio popular, Suraya Borhan, dilaporkan telah meninggalkan stesen Suria FM selepas 10 tahun berkhidmat.
Sebelum ini, pelakon dan penyampai radio, Datuk Fizz Fairuz, turut mengumumkan pengundurannya daripada stesen radio yang sama.
Memetik laporan mStar, Suraya memaklumkan bahawa kontraknya bersama Suria FM telah tamat pada Jumaat.
Namun yang menyedihkan, berita mengenai penamatan kontrak itu diterimanya hanya lima hari selepas kehilangan bapa tercinta.
“Ketika diberitahu kontrak tamat, ayah saya baharu lima hari meninggal dunia.
“Saya tahu ini realiti yang perlu diterima, orang datang dan pergi. Saya reda cuma ambil masa sesuaikan diri,” katanya.
Suraya turut menyatakan hasrat untuk mencari pengalaman baharu dalam bidang yang diminatinya itu.
“Saya memang sukakan kerja sebagai penyampai radio. Cuma mungkin sekarang masanya untuk berkembang di tempat lain,” ujarnya.
Sementara itu, pihak Suria FM turut menzahirkan penghargaan atas segala jasa dan sumbangan Suraya sepanjang bersama mereka.
Baca juga:
- Amira Othman umum hamil 30 minggu
- Isu gelaran juara, Zaha Spring pertahan kenyataan Ameng
- Dari gurauan jadi kenyataan, lelaki sahut cabaran TokTi joging 8KM
“Patah tak tumbuh, hilang tak terganti. Jauh di mata, kekal di hati.
“Terima kasih Suraya Borhan – suara, semangat dan senyumanmu akan sentiasa dirindui,” tulis Suria FM.











