Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa waktu sesi persekolahan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan sepanjang bulan Ramadan kekal seperti yang ditetapkan dalam Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022.
Menurut ketetapan itu, sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam perlu menamatkan sesi persekolahan lebih awal, iaitu pada 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, sesi berakhir pada 5.00 petang. Sesi pagi pula berjalan seperti biasa.
Langkah ini diambil bagi memastikan murid dan guru dapat pulang lebih awal serta bersiap sedia untuk berbuka puasa dengan lebih selesa. Selain itu, ia juga bertujuan mengurangkan keletihan dalam kalangan warga sekolah yang menjalani ibadah puasa agar mereka dapat memberi tumpuan lebih baik dalam sesi pembelajaran.
KPM turut mengingatkan ketetapan ini telah dikuatkuasakan sejak 2022 dan perlu dipatuhi oleh semua institusi pendidikan di bawah kementerian. Pihak sekolah diminta untuk memastikan jadual waktu sesi persekolahan diselaraskan agar tidak menjejaskan proses pembelajaran sepanjang Ramadan.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan sesi persekolahan dan operasi kantin sekolah akan berjalan seperti biasa sepanjang bulan Ramadan. Beliau berseloroh bahawa waktu balik sekolah tidak diubah kerana ia tidak memberi kesan kepada waktu berbuka puasa.
“Kantin dan sekolah tetap beroperasi seperti biasa. Nak balik awal pun buat apa, bukan boleh buka puasa awal pun,” katanya.








