Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Malang tak berbau, seorang wanita cedera parah di dapur apabila tangan kanannya terkena bilah tajam pengisar yang sedang digunakan untuk memasak. Kejadian itu menyebabkan luka serius yang memerlukan pembedahan dan 32 jahitan.
Zainurul Azwa Zakaria, berkata kejadian berlaku dua bulan lalu ketika dia sedang menyiapkan makan malam untuk keluarganya. Dia menggunakan pengisar untuk mengisar bahan sambal, namun alat tersebut mengalami masalah pada pemegang bilahnya.
“Saya cuba ejas pemegang bilah tu supaya ketat, tapi tak sengaja tertekan suis. Sekelip mata, bilah berpusing dan terkena tangan kanan saya,” katanya, mengimbas detik cemas itu.
Walaupun cedera parah, dia tetap tenang dan segera mencuci luka di bilik air sambil cuba menghentikan pendarahan. Namun, darah terus mengalir deras walaupun luka dibalut dengan beberapa lapisan kain.
“Tak sampai 15 minit, t-shirt yang saya gunakan untuk membalut luka dah lencun. Saya balut dengan towel muka, pun lencun juga. Akhirnya, saya guna towel mandi yang besar,” jelasnya.
Dalam keadaan cemas, dia menghubungi suaminya, yang berjaya menjawab panggilan walaupun telefonnya sering dalam mod senyap. Suaminya mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan pejabat dan mencadangkan supaya menghubungi ambulans, tetapi kesesakan jalan menyebabkan bantuan lambat tiba.
“Waktu itu, hanya saya dan anak bongsu yang berusia lima tahun di rumah. Dia banyak membantu saya walaupun menangis tengok umi darah banyak macam tu,” katanya.
Zainurul akhirnya keluar mencari bantuan jiran apabila dia mula merasa pening dan hampir pengsan. Mujur seorang jiran yang baru pulang segera membantunya ke hospital.
“Sampai di hospital, nurse terus mencuci luka saya. Menjerit saya sebab sakit. Selepas itu, doktor buat X-ray dan bawa saya ke bilik pembedahan,” katanya.
Pembedahan berlangsung sehingga tengah malam, dan dia menerima 32 jahitan di tangannya. Walaupun kini tangannya tidak dapat berfungsi seperti dahulu, Zainurul tetap bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup.
“Walaupun parut kekal dan tangan tak sekuat dulu, saya syukur sangat kerana Allah masih panjangkan umur saya,” ujarnya.
Zainurul turut menyeru para suri rumah di Malaysia, tidak kira bangsa atau status pekerjaan, agar mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah PERKESO.
Menurutnya, skim ini hanya memerlukan caruman RM120 setahun dan mampu memberikan perlindungan sekiranya berlaku kecederaan luar jangka.
Beliau juga menggesa para suami untuk mencarum bagi pihak isteri yang berkhidmat menjaga keluarga, memandangkan kos skim ini jauh lebih rendah berbanding takaful lain. Zainurul menegaskan, faedah yang boleh dituntut bergantung pada penilaian pihak PERKESO, tetapi ia sangat membantu dalam situasi kecemasan.
Sumber: Zainurul Azwa Zakaria