Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan sekeras-kerasnya dakwaan fitnah yang mengaitkan beliau dengan pengagihan tender makanan dan projek di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kepada Ketua-Ketua UMNO Bahagian.
Menurut Asyraf, dakwaan yang disebarkan oleh Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, juga termasuk tuduhan kononnya beliau menggunakan dana MARA untuk membeli lembu korban bagi penduduk di Gerik, Perak.
Baca juga:
- Wanita dipecat kerana datang kerja terlalu awal, saman majikan
- Mahkamah Beijing arah MAS bayar RM1.9 juta setiap keluarga mangsa MH370
- Mahkamah sahkan kecuaian, keluarga S Thanabalan terima RM1.1 juta
“Astaghfirullah, sejak bila saya terlibat dengan tender makan MRSM? Seluruh Malaysia tahu, saya sendiri telah #Terjah ke MRSM termasuk dewan-dewan selera untuk memecahkan kartel yang menjejaskan kualiti makanan demi kebajikan pelajar,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Jelas beliau, sebagai Pengerusi MARA, jawatan tersebut tidak mempunyai kuasa eksekutif dan beliau tidak pernah terlibat dalam mana-mana mesyuarat tender perolehan agensi itu.
“Namun saya bersama Ahli-Ahli Majlis MARA mengambil tanggungjawab untuk mengetatkan tadbir urus dan memastikan tiada ruang untuk salah guna kuasa dalam isu tender,” tegasnya.
Sumbangan individu
Mengulas mengenai dakwaan pembelian lembu korban menggunakan wang MARA, Asyraf menjelaskan bahawa kesemua lembu tersebut adalah hasil sumbangan individu yang berniat melakukan ibadah korban, bukan daripada dana awam.
“Tidak ada satu sen pun wang MARA digunakan untuk membeli lembu-lembu korban seperti yang difitnah,” katanya.
Menganggap tuduhan tersebut sebagai jahat, melampau dan mencemarkan reputasinya, Asyraf memaklumkan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Papagomo.
“Saya akan saman RM1 juta. Budaya fitnah seperti ini tidak boleh dibiarkan,” katanya tegas.










