'Secara jujur, saya masih kecewa sampai ke hari ni' - Nurul Aiman tak sangka wanita bakal dikahwini rupanya isteri orang - The Reporter

‘Secara jujur, saya masih kecewa sampai ke hari ni’ – Nurul Aiman tak sangka wanita bakal dikahwini rupanya isteri orang

Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Hantaran beliau dalam Facebook baru-baru ini mengejutkan ramai pihak. Nurul Aiman berkongsikan luahan rasa kecewa apabila perkahwinan yang diimpikan bertukar menjadi mimpi ngeri.

Menerusi satu laporan, sehingga ke hari ini dia masih lagi berasa sedih dengan kejadian yang berlaku.

“Sangat sedih dan secara jujur saya masih kecewa sampai ke hari ini,” katanya.

Menurut Nurul Aiman, 28, dia memang tidak menyangka perkahwinan impiannya akan musnah selepas segala persiapan dibuat.

“Sudah tentu saya serius nak berkahwin, jika tidak takkan saya sanggup nak menempuh perjalanan jauh ke rumahnya. Bagaimanapun, apa yang terjadi tak seperti dirancang hingga saya jadi sangat sedih kerana bukan hanya tanggung rugi tapi juga turut berasa malu.

“Tapi saya anggap apa yang berlaku ujian daripada Allah SWT dan keluarga banyak beri sokongan moral serta minta saya bersabar,” katanya.

Tak sanggup baca komen Facebook

Nurul Aiman turut menjelaskan dia tidak membaca komen melalui hantaran yang dibuat.

“Saya tak sanggup nak baca komen selepas muat naik hantaran itu dan mahu ruang untuk diri sendiri.

“Lagipun, bukti sudah ada jadi saya serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan.

“Saya juga sudah tidak berhubung dengannya (wanita itu), kali terakhir pun pada hari pernikahan dan itu pun tak dijawab malah bapanya turut menyekat nombor panggilan saya,” katanya.

Nurul Aiman berkata, dia tidak pernah meragui atau mengesyaki status ‘tunangnya’ itu kerana bapa wanita terbabit sendiri hadir ketika majlis pertunangan mereka.

“Daripada awal perkenalan, dia perkenalkan namanya lain dengan nama sebenarnya, malah waktu majlis pertunangan, bapanya hadir dan mengiakan namanya.

“Jadi, sudah tentu saya percaya dan yakin dengannya namun tak sangka lain pula jadinya,” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Daro dekat sini, pada 10 November lalu.

Berserah jodoh pada Allah

Ditanya adakah dengan apa yang terjadi itu membuatkan dia serik untuk berkenalan rapat dengan wanita lain dan berkahwin, Nurul Aiman berkata, dia menyerahkan soal jodoh kepada Yang Maha Esa.

“Urusan jodoh, saya serahkan kepada Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Nurul Aiman mendapat perhatian netizen selepas memuat naik hantaran di FB mengenai hari pernikahannya dan mendakwa ditipu seorang wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Total
0
Share