Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Pelakon, Ellie Suriati Omar memberikan tempoh seminggu kepada pempengaruh terkenal, Imran Bard dan ibu bapanya untuk membuat permohonan maaf susulan hantaran yang didakwa merendahkan maruahnya dan reputasi nama.
Tempoh permohonan maaf diberikan sebelum beliau mengambil tindakan untuk melaporkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Sebab dia biadap, maka wajarlah saya meminta ibu bapa dia sendiri datang meminta maaf kerana dia tidak faham tentang adab.
“Demi Allah, saya tak izinkan, tak reda dia guna nama saya untuk meraih keuntungan,” katanya.
Kata Ellie, beliau faham tentang sesebuah video parodi, namun tidak mahu lagi perkara begini (konten) berulang dengan merendahkan individu lain.
“Saya faham video parodi tetapi kenapa dengan sengaja memalukan saya dan juga pelakon-pelakon senior lain?
“Besar harapan saya perkara ini tidak akan berulang. Buatlah konten yang cerdik dan memberi manfaat, bukan dengan cara merendahkan-rendahkan, memalukan atau memfitnah orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata akan mempertimbangkan samada mahu mengambil tindakan undang-undang, namun katanya laporan polis sudah dibuat beberapa hari lalu.
“Dia menyentuh pasal kesihatan mental. Ia diperbual dalam komen sehingga saya dituduh ambil barang terlarang. Saya bukan penagih dadah.
“Cuba cakap berapa nilai kalau saya nak saman pun dengan jenama dibina selama ini? Adakah nilai itu nanti akan memadai dengan reputasi saya yang sudah dihina dan kemusnahan berlaku?” katanya.
Tambahnya lagi, kesan daripada hantaran berkenaan, emosi serta rutinnya dan keluarga terganggu.
Terdahulu, Imran memuat naik hantaran video parodi di TikTok dengan menyebut beberapa nama artis terkenal bagi menggambarkan situasi konten yang dihasilkan.
Sumber: Kosmo